
KUANTAN: “Nama gah tapi jalan parah,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu.
Beliau menyatakan demikian susulan tinjauannya di kawasan Perindustrian Harbour Park, Tanjung Gelang, kira-kira 30 km dari sini.
“Nama macam tempat di luar negara tapi jalannya…” ujarnya menerusi tulisan di laman sosial beliau, hari ini.
Menurutnya, beliau difahamkan aduan sudah dibuat kepada beberapa pihak oleh kakitangan syarikat di situ tetapi tindakan belum diambil.
Katanya, keadaan begitu bukan sahaja memberi kesusahan kepada para pekerja industri dan pemandu-pemandu pengangkutan, tetapi juga memberi imej buruk kepede pelabur tempatan dan juga luar.
“Syarikat-syarikat yang beroperasi di sana antaranya bukan syarikat kecil. Saya ke lokasi pada petang semalam untuk melihat sendiri keadaannya,” ujarnya lagi.

Beliau juga difahamkan salah sebuah syarikat di kawasan itu telah melakukan sedikit pembaikan bagi meminimumkan risiko keselamatan para pekerjanya.
“Berkali-kali sebelum ini saya suarakan melalui pelbagai saluran supaya infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian kita dipelihara baik di Gebeng mahupun di pelabuhan,” katanya.
Tambahnya, bukan sahaja penyelenggaraan perlu sentiasa dilakukan, spesifikasi jalan juga perlu bertepatan dengan kapasitinya.
“Ini kerana jalan-jalan ini digunakan oleh ribuan pekerja industri kita dan pelbagai jentera berat setiap hari,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.
Beliau berkata, ia bukan sahaja soal imej dan keselesaan tetapi paling utama adalah keselamatan nyawa dan kenderaan.

Menurut Andansura lagi, beliau difahamkan jalan itu sudah dilawati oleh wakil syarikat konsesi penyelenggaraan untuk tujuan pembaikan.
Sehubungan itu, beliau berharap ia tidak akan mengambil masa yang lama dan yang tidak kurang penting juga ialah jalan itu akan bertahan lama sebaik dipulihkan. – HARAKAHDAILY 14/12/2024











