
BANGI: Liqa’ Fikri PAS Pusat Siri Ketiga 2024 anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat (LTPPP) telah disertai lebih 2,000 pimpinan PAS pada program yang berlangsung di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.
Penyertaan melibatkan Ahli Majlis Syura, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat serta Dewan Ulamak PAS Pusat, selain Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri.
Sementara Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan yang disertai oleh 152 Kawasan seluruh negara telah mengikuti sesi melalui platform aplikasi Zoom di Markas PAS kawasan masing-masing.
Para peserta telah mengikuti dua pembentangan kertas kerja disampaikan Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad merangkap Pengerusi LTPPP dan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ustaz Idris membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Kepimpinan Pelapis Agenda Utama Dalam Kepimpinan Masa Depan’, manakala Tuan Guru Presiden menyampaikan kertas kerja bertajuk ‘Hikmah Khilaf Mazhab: Peranan Kita Ke Arah Penyatuan Ummah’.
Pada majlis sama juga Pengerusi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary telah mengemukakan Tabung Musa’adah Bencana Banjir yang disempurnakan pelancarannya oleh Tuan Guru Abdul Hadi.
Sesi dialog dan soal jawab dikendalikan Timbalan Pengerusi LTPPP, Ustaz Sallehen Mukhyi menyaksikan banyak soalan berkisar tarbiyah dan dakwah, isu politik semasa negara dan antarabangsa ditanya peserta dengan dijawab bersama Ustaz Idris dan Tuan Guru.
Pimpinan tertinggi yang turut hadir adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man serta Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan ramai lagi.
Terdahulu, Liqa’ Fikri Siri Kedua telah diadakan di Menara PGRM, Cheras pada 13 Julai lalu, manakala Siri Pertama di Pusat Konvensyen Seri Kembangan, Serdang pada 15 Januari dahulu.
Liqa’ Fikri yang merupakan program rutin berkala paling lama atau tradisi ini merupakan antara program dalaman penting terbesar PAS dan menjadi medan pertemuan dan kesatuan pemikiran khususnya para pimpinan PAS di setiap peringkat.

Ustaz Idris dalam pada itu berkata, Liqa’ Fikri tersebut telah mencapai kejayaan dari segi kehadiran untuk siri pertama, kedua dan ketiga itu dengan kehadiran bukan sahaja memenuhi sasaran, malah melebihi jangkaan.
“Program ini menyediakan peluang untuk mendengar arahan langsung daripada pimpinan, selain daripada muktamar dan sesi soal jawab.
“Ia turut menekankan kepentingan dalam penyampaian mesej yang diberikan kepada peserta untuk disampaikan kepada pihak lain,” katanya.
Menurutnya, Liqa’ Fikri pada masa akan datang akan berlangsung setiap tiga kali setahun dan akan dimaklumkan kelak lokasi dan tarikh, serta sekiranya tiada halangan atau pertembungan dengan program lain.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim pula dalam ucapannya sebelum majlis berakhir mengingatkan para hadirin agar program ini tidak berakhir begitu sahaja tanpa nilai tambah.
Shahidan selaku juga Ahli Parlimen Arau turut meminta agar sesi bergambar diadakan bersama hadirin di dewan sebagai kenangan, dengan menunjukkan buku Liqa’ Fikri PAS Siri Ketiga 2024 yang diterima semasa pendaftaran. – HARAKAHDAILY 14/12/2024












