
BANGI: Kerajaan masih gagal menguruskan dengan baik isu kekurangan bahan makanan ruji di negara ini khususnya beras tempatan yang dikatakan masih belum berada dalam pasaran pengguna.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, sebagai salah satu negara pengeluar beras dan bahan eksport seperti sawit, isu itu sepatutnya tidak berlaku.
“Dalam keadaan tahun depan kita akan jadi Pengerusi ASEAN ya. Maknanya kita akan berada di persada dunia. Tapi tak kan dalam keadaan kita nak ‘develop economic growth’ di ASEAN, kita tidak boleh selesaikan masalah paling asasi dalam negara sendiri,” soalnya.
Ahli Parlimen Jerantut berkata, isu sama turut sering kali dipersoalkan beliau di Parlimen terhadap sebab isu kekurangan beras tempatan timbul, terutama ketika bukan musim Pilihan Raya Kecil.
“Waktu Pilihan Raya Kecil sentiasa ada beras tempatan. Apakah kita mahu Pilihan Raya Kecil sentiasa baru kita ada beras tempatan?” sinikalnya ketika ditemui Harakahdaily selepas Liqa’ Fikri PAS Pusat di sebuah hotel di sini hari ini.
Menurut beliau, ketiadaan beras tempatan bukan sahaja menjejaskan pengguna, malah turut membebankan pesawah yang menjual hasil mereka pada harga murah.
Namun katanya, apabila hasil itu sampai kepada pihak tidak bertanggungjawab, ia diproses dan dijual sebagai beras dengan keuntungan tinggi.
Beliau menggesa kerjasama silang kementerian, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta pihak berkuasa seperti polis untuk menyelesaikan isu itu secara menyeluruh.
Perkara itu jelasnya, tidak boleh diselesaikan oleh satu kementerian sahaja, dan sekiranya perlu, pihak Kementerian Dalam Negeri juga harus dilibatkan untuk memastikan rakyat dapat menikmati subsidi beras dan barangan ruji dengan sewajarnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan menangani isu bahan ruji itu boleh mengakibatkan peningkatan inflasi, yang akhirnya membebankan rakyat.
“Dalam keadaan yang kita berlakunya pengurangan subsidi diesel tahun ni dibuat dan kemungkinan pada tengah tahun depan kita akan ada pula penyasaran subsidi untuk RON95. Jadi ia akan mengganggu kehidupan rakyat.
“Jadi kalau perkara-perkara ruji ini tidak dapat diselesaikan. Kita bimbang inflasi akan semakin meningkat dan yang paling kita bimbang rakyat akan semakin menderita,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2024











