
KANGAR: Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis mengalu-alukan pembentangan Belanjawan Perlis 2025 oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Bertemakan “Perlisku Bestari Berkat Lestari”, belanjawan itu dilihat sebagai langkah positif dalam memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan wanita.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis, Norshahirah Mat Salleh berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif yang digariskan, termasuk usaha meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan wanita.
“Belanjawan 2025 menekankan program rohani seperti Program Bulan Solat, Al Quran, Ihya Ramadan, dan Infaq, selain memperkukuhkan kempen Jom Solat.
“Program sedia ada seperti Inspirasi Rohani dan Bicara Dhuha untuk penjawat awam serta Halaqah Ilmiah untuk masyarakat akan diteruskan.
“Inisiatif baharu seperti Kem Anakku Bestari dan Kem Remaja Bestari dijangka membentuk jati diri masyarakat Perlis, termasuk wanita,” katanya.
Selain itu ujarnya, inisiatif Akademi Kepimpinan Generasi Bestari (GENBEST) Perlis membuka peluang kepada belia wanita untuk mendalami kemahiran kepimpinan, pengurusan projek, dan teknologi melalui GENBEST Tech-Up.
“Program GENBEST Inovasi Sosial memberi fokus kepada inovasi menyelesaikan isu komuniti, manakala GENBEST Volunteer Squad menggalakkan penyertaan belia wanita dalam aktiviti amal dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh peruntukan RM3.5 juta bagi sektor pertanian untuk meningkatkan hasil padi dan buah-buahan.
“Program Briged Belia Tani dan Agroprenuer Muda dirangka menarik penyertaan wanita muda dalam bidang pertanian, termasuk penternakan, sekali gus menyokong ekonomi keluarga,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 14/12/24











