Perlis peruntuk RM7.84 juta untuk kebajikan rakyat

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis memperuntukkan RM7.84 juta dalam Belanjawan 2025 bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Menurutnya, pihak pentadbiran, termasuk ADUN, penghulu dan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) akan digerakkan untuk mengenal pasti dan menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

“Pendekatan ini akan memastikan setiap isu ditangani dengan segera, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat Perlis.

“Wakil rakyat perlu mendengar dan menyelesaikan keluhan rakyat, mengurangkan birokrasi dan mempermudah urusan mereka tanpa mengabaikan kualiti serta integriti,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Sanglang berucap semasa sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan, kebajikan rakyat akan diutamakan tanpa mengira perbezaan politik atau kaum.

“Tahun depan, kerajaan akan mengekalkan peruntukan sama rata kepada semua ADUN, berjumlah RM4.2 juta, untuk pelaksanaan Projek Pembangunan Infrastruktur Awam Desa (PIAD).

“Projek-projek ini akan diselaraskan melalui pentadbiran daerah masing-masing.

“Dalam aspek perumahan, kerajaan akan menaikkan kos siling bantuan bina baharu rumah daripada RM50,000 kepada RM85,000 bagi memastikan kualiti rumah ditingkatkan,” katanya lagi.

Selain itu ujarnya, rumah baharu kini akan mempunyai tiga bilik tidur berbanding dua sebelum ini, selaras dengan keperluan rakyat dan kos semasa.

“Langkah ini turut membantu meringankan beban kontraktor akibat kenaikan kos bahan mentah, selain memberikan keselesaan kepada keluarga penerima,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -