
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk menangani kelewatan dalam proses tuntutan nafkah anak di mahkamah.
Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai hanya 58 peratus kes yang dapat diselesaikan dan menekankan pentingnya mempercepatkan proses tersebut bagi mengelakkan kelewatan dan penyalahgunaan.
Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional itu memaklumkan bahawa kerajaan perlu mempunyai perancangan untuk mewujudkan formula khusus dalam menentukan kadar perintah nafkah anak kepada ibu bapa yang bercerai.
“Adakah kerajaan melalui JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) bercadang untuk menyediakan satu dana khusus yang boleh jadi ‘revolving fund’ kepada BSK (Bahagian Sokongan Keluarga) ini.
“(Ia) bagi tujuan melaksanakan perintah mahkamah kepada ibu bapa yang ibu ataupun wanita yang terkesan disebabkan oleh perintah nafkah masih lagi tidak dapat dilaksanakan oleh bapa-bapa yang culas ini sebelum ibu ini dapat mandiri, mendapat sumber pendapatan.
“Dan seperti juga di negeri Selangor yang saya kira zakat memberikan peruntukan kepada BSK supaya ‘revolving fund’ itu dapat membantu sekurang-kurangnya kepada ibu ataupun anak yang terkesan itu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam jawapannya memberitahu, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk mempercepat dan memperkukuhkan prosedur penguatkuasaan perintah, termasuk menyelaraskan punca kuasa bailif dan mengarahkan amalan manual kerja di seluruh mahkamah syariah Malaysia.
Sehingga kini menurutnya, terdapat kira-kira 96 pegawai BSK yang dilatih untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam melaksanakan dan mempercepatkan kes.
Ahmad Yunus dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah keberkesanan Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sejak diperkenalkan; dan adakah terdapat usaha untuk menyelaraskan dan menambah baik enakmen serta undang-undang keluarga Islam negeri-negeri supaya dapat dikuatkuasakan dengan lebih tegas terhadap suami/bapa yang culas membayar nafkah. – HARAKAHDAILY 12/12/2024











