DUN Perlis lulus Belanjawan 2025, dua RUU

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Enakmen Jenayah Dalam Syarak (Pindaan) 2024 dan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) (No.2) 2024.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pindaan terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) (No.2) 2024 memperkenalkan Seksyen 53A yang memberikan perlindungan kepada mufti dan jawatankuasa fatwa.

“Perlindungan ini hanya terpakai bagi fatwa yang diputuskan berdasarkan kuasa di bawah enakmen berkenaan, bukan untuk masalah peribadi atau perkara di luar bidang tugas,” katanya dalam sidang media selepas persidangan DUN hari terakhir, di sini, hari ini. (Foto atas)

Beliau turut menjelaskan, RUU Enakmen Jenayah Dalam Syarak (Pindaan) 2024 melibatkan pindaan Seksyen 39 yang meningkatkan denda maksimum kepada RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, ujarnya pindaan Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam memperuntukkan pengambilan dan pendaftaran anak angkat, memastikan aspek seperti aurat dan penyusuan dijaga selaras dengan tuntutan Islam.

“Proses pengambilan anak angkat sebelum ini bergantung kepada undang-undang sivil yang hanya membenarkan pengangkatan bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun sahaja,” tambahnya.

Menurutnya lagi, Perlis menjadi negeri pertama yang melaksanakan pindaan berkaitan pengarah dan pegawai penguatkuasa agama Islam.

“Negeri lain pun belum laksanakan lagi, kita Perlis yang pertama buat. Saya ucap tahniah kepada pihak penguatkuasa Islam negeri,” katanya.

Terdahulu, DUN Perlis turut meluluskan Belanjawan Perlis 2025 berjumlah RM303.28 juta yang bertemakan ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’.

Mohd Shukri berharap rakyat Perlis memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan menerusi belanjawan tersebut.

“Harapan saya supaya rakyat Perlis dapat berdikari dengan memanfaatkan semua peluang pekerjaan yang ditawarkan di negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2024

- Advertisement -