
DAMSYIK: Mohammed al-Bashir, mengumumkan beliau kini mengambil alih tugas sebagai perdana menteri sementara dengan sokongan pejuang pembebas Syria yang menumbang Presiden Bashar al-Assad baru-baru ini.
Dalam ucapan ringkas di televisyen negara, Bashir sebelum ini mengetuai pentadbiran di kawasan barat laut yang dikuasai pemberontak, berkata beliau akan memimpin kerajaan sementara sehingga 1 Mac 2025.
“Hari ini kami akan mengadakan mesyuarat kabinet membabitkan kumpulan daripada kerajaan penyelamat yang beroperasi di Idlib dan kawasan sekitarnya, serta kerajaan rejim yang digulingkan.
“Mesyuarat itu bertujuan menyerahkan fail dan institusi pentadbiran kepada kerajaan sementara,” katanya.
Dalam ucapan itu, dilihat Bashir berada di hadapan dua bendera iaitu bendera hijau, hitam dan putih yang digunakan oleh penentang Assad sepanjang perang saudara, serta bendera putih dengan kalimah syahadah dalam tulisan hitam; biasanya digunakan pejuang Islam Sunni di Syria.
Di ibu kota Syria, bank mula dibuka semula buat kali pertama sejak kejatuhan Assad, selain kedai-kedai juga kembali beroperasi, lalu lintas kembali berjalan seperti biasa, pekerja pembersihan mula membersihkan jalan dan bilangan lelaki bersenjata dilihat semakin berkurangan.
Dua sumber mendakwa, komando pasukan mereka telah mengarahkan pejuang untuk berundur dari kawasan bandar dan pasukan polis serta keselamatan dalaman yang berkerjasama dengan kumpulan utama Hayat Tahrir al-Sham (HTS), dikerahkan ke kawasan terbabit.
HTS, bekas sekutu al-Qaeda yang mengetuai penentangan anti-Assad, kini lebih menonjolkan imej sebagai kumpulan yang telah meninggalkan akar ‘jihadisme’ mereka. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











