
KUALA LUMPUR: Mekanisme pemantauan khas perlu diperkenalkan bagi memastikan yuran pendidikan yang dikenakan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tidak membebankan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Sehubungan itu, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) memuji usaha kerajaan membantu pelajar daripada keluarga B40, namun menekankan perlunya memberi perhatian kepada anak-anak penerima bantuan zakat.
Menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga PAS Pusat itu, bantuan kepada golongan itu mampu merubah masa depan keluarga mereka.
“Jadi soalan saya ialah apakah mekanisme pemantauan terutama untuk memastikan IPTA termasuk juga IPTS yang mengenakan yuran yang agak tidak mampu milik oleh rakyat Malaysia terutama IPTS yang membebankan. Jadi apakah mekanisme pemantauan supaya tidak membebankan?
“Dan apakah strategi dasar yang dibuat oleh kerajaan untuk membolehkan supaya kualiti pendidikan itu tidak berkurang walaupun yurannya tidak tinggi.
“Dan sejauh mana saya ingin tahu mekanisme yang akan digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan dasar iaitu kenaikan yuran di IPTA kepada kumpulan kumpulan T15 sebagaimana yang disebut dalam bajet 2025 baru ini. Jadi apa mekanisma apabila Perdana Menteri kata nak naikkan yuran di kalangan golongan T15. Minta penjelasan,” soal beliau.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam jawapannya berkata, kementerian memantau pelajar miskin yang menerima bantuan zakat melalui Hal Ehwal Pelajar (HEPA) di universiti, yang bukan sahaja memberi bantuan kewangan tetapi juga sokongan psikologi dan pembangunan sahsiah.
Menurutnya, dasar kenaikan yuran T15 tidak bersifat mutlak; universiti akan mempertimbangkan situasi keluarga besar atau berkeperluan khusus bagi memastikan keadilan. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











