Sindiket judi dalam talian guna pempengaruh media sosial

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sindiket judi dalam talian telah menggunakan pelbagai taktik baharu termasuk melibatkan pempengaruh media sosial dalam mempromosikan kegiatan mereka yang perlu diambil tindakan tegas oleh kerajaan.

- Advertisement -

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, orang ramai telah membuat aduan berhubung isu itu melalui pelbagai media sosial seperti Facebook Masjid Tanah, Komuniti Masjid Tanah, Page Masjid Tanah Daily dan Telegram Edisi Siasat yang memiliki lebih 1.1 juta pengikut.

“Adakah pihak kementerian telah mengambil tindakan terhadap aduan di atas talian ini sebab mereka memberikan maklumat dengan jelas beserta gambar, video dan sebagainya?

“Selain itu, bagaimanakah kerajaan bertindak di dalam kes modus operandi sindiket judi dalam talian menggunakan pempengaruh sosial media untuk mempromosikan kegiatan judi dalam talian mereka?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kementeriannya mengalu-alukan maklumat daripada rakyat dan setiap aduan akan disiasat berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Maka, setiap kes memang kita teliti supaya tindakan-tindakan yang kita ambil itu benar-benar berkesan dan mematuhi peraturan yang ada,” katanya.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini tindakan perundangan yang diambil oleh pihak Kementerian bersama agensi lain terutama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengatasi judi dalam talian yang berlaku di Melaka. – HARAKAHDAILY 11/12/2024

- Advertisement -