
ALOR SETAR: PAS Kedah menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati dengan keputusan yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari tadi.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, representasi yang dikemukakan oleh Menteri Besar diterima dan sekali gus membolehkan beliau dibebas serta dilepaskan daripada pertuduhan.
“Oleh itu, sekali lagi PAS Kedah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, di atas perkenan menerima permohonan maaf beliau sebelum ini,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi, Shah Alam hsri ini melepas dan membebaskan Menteri Besar Kedah, atas satu pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan Muhammad Sanusi bagi membatalkan dua kes terbabit.
Bagaimanapun beliau akan kekal dibicarakan di atas pertuduhan menghasut berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan melibatkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan akan dibicarakan pada 24 hingga 28 Februari 2025 akan datang. – HARAKAHDAILY 10/12/2024











