
KOTA BHARU: Walaupun banjir gelombang pertama yang melanda Kelantan sudah pulih sepenuhnya semalam, namun dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Gua Musang hari ini.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri sudah merangka persediaan bagi menghadapi bencana gelombang kedua bermula di jajahan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya melakukan persiapan rapi terhadap sebarang kemungkinan yang bakal berlaku termasuk peningkatan jumlah mangsa dipindahkan dan bilangan PPS diwujudkan.
“Mengenai gelombang kedua, kita begini kita sentiasa bersedia tetapi kadang-kala persediaan kita itu tidak sebagaimana apa yang datang, jangkaan kita 100, tetapi yang datang 200 atau lebih.
“Tetapi kita sentiasa bersedia, sebenarnya kalau ikut maklumat dibentangkan dalam Mesyuarat Exco, kita buat persediaan terbaik tetapi yang datang itu ‘unexpected’ nak buat macam mana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan banjir oleh Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa di perkarangan Masjid al Ismaili Pasir Pekan, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa, Aida Lim Abdullah.
Sebanyak tiga PPS dibuka di Gua Musang membabitkan Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7, Dewan Orang Ramai Batu Enam dan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi Satu susulan gelombang kedua banjir.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, setakat jam 4:33 petang, seramai 158 orang membabitkan 36 keluarga dipindahkan ke Dewan Semai Bakti Felda Chiku 7.
Sementara itu 16 orang daripada empat keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Batu Enam dan enam mangsa membabitkan dua keluarga menghuni Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi Satu.
Dalam pada itu, laman sesawang Public Info Banjir melaporkan, dua aliran Sungai Galas di Gua Musang, Limau Kasturi dan Kampung Lembaga sehingga jam 4:15 petang berada pada paras waspada.
Selain itu, Sungai Sokor Tanah Merah telah melepasi paras bahaya, sementara paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dan di Kampung Jenob, Tanah Merah pula mencatatkan bacaan amaran. – HARAKAHDAILY 10/12/2024











