Sumbangan besar IFE disalur ke DUN-DUN paling terjejas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa (IFE) menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia merupakan sumbangan antara yang terbesar diterima sehingga hari ini setelah ramai pihak tampil menghulurkan tenaga dan masa.

Beliau dimaklumkan, yayasan tersebut menyumbang sebanyak 500 unit tilam pelbagai siz, bantal 850 biji, makanan keperluan asas sehingga 1,000 pek selain air mineral kepada penduduk terjejas.

“Keprihatinan mereka telah dijelmakan dengan membawa sumbangan antara sumbangan terbesarlah yang kita terima, ramai yang menyumbang daripada individu NGO dan sebagainya tetapi ini yang terbesar.

“Mereka menyumbangkan tilam, bantal, makanan keperluan asas dan juga air mineral dan mungkin ini bukan kali pertama, mungkin ada susulan, kita mengharapkan selepas daripada ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan banjir oleh Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa di pekarangan Masjid al Ismaili Pasir Pekan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa, Aida Lim Abdullah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu menjelaskan, bantuan tersebut bakal diagihkan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang paling teruk terjejas dengan bencana tersebut.

Beliau berkata tilam, bantal dan selimut disalurkan kepada DUN Pengkalan Kubor dan DUN Kelaboran sementara pek makanan keperluan asas diberikan kepada DUN Gual Periok dan DUN Apam Putra.

“Sebagaimana yang kita tahulah bahawa banjir terbesar dalam masa 10 tahun selepas 2014, malah sesetengah tempat di Rantau Panjang dan Tumpat ada sesetengahnya lebih besar daripada banjir 2014.

“Setakat ini mangsa keseluruhan seramai 114,730 orang dari 35,444 keluarga yang mana 316 PPS dibuka dan PPS mula-mula sekali dibuka dan terakhir, PPS Gual Tok Deh Rantau Panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -