Lantik Peguam Negara perlu elak konflik kepentingan

Dr. Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun), menggesa kerajaan memastikan pelantikan Peguam Negara dibuat melalui saluran yang lebih telus, seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), untuk meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan. 

- Advertisement -

Beliau menyatakan langkah pemisahan tugas antara Peguam Negara dan pendakwa raya penting untuk mengelakkan konflik kepentingan serta campur tangan politik, sekali gus memulihkan keyakinan awam terhadap sistem perundangan negara.

 “Selepas pelantikan Peguam Negara yang baru, Bersih telah membuat satu kenyataan secara terbuka bahawa pelantikan ini tidak mencerminkan kesungguhan kerajaan madani untuk membuat reformasi perundangan dalam negara.

“Dan ia telah menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi kerana Peguam Negara yang dilantik itu merupakan orang yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri yang akhirnya memberi DNAA kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Abd Ghani turut merujuk lawatan kerajaan ke Australia, Kanada, dan United Kingdom untuk mempelajari pendekatan pengasingan fungsi tersebut, yang bertujuan memperkukuhkan integriti institusi perundangan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V.Murugeson dalam jawapannya berkata, kerajaan memilih Peguam Negara berdasarkan pengalaman dan kebolehan beliau, yang diakui sebagai peguam berintegriti.

Menurutnya, walaupun cadangan membawa pelantikan ini ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dianggap baik, ia perlu diteliti sebelum keputusan dibuat.

Selain itu, tambahnya, kes yang dikendalikan tidak hanya bergantung kepada Peguam Negara, tetapi turut melibatkan peguam lain. – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -