
GUA MUSANG: Jabatan Amal Malaysia Kawasan Gua Musang buat kali kedua turun dalam program ‘Gonyoh Gaha Sapa Cuci’ yang diadakan di DUN Meranti, Pasir Mas dan Parlimen Rantau Panjang.
Pemangku Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Gua Musang, Abdul Razak Ab Halim berkata, program ini berlangsung selama tiga hari, bermula 5 hingga 7 Disember Sabtu kelmarin.
“Alhamdulillah, dengan kekuatan 20 orang jentera dan empat buah pacuan empat roda, misi ini berjaya membersihkan empat lokasi dalam tempoh dua hari.
“Pada hari Jumaat, operasi pembersihan dimulakan di PASTI Al-Ukhuwah, DUN Meranti,” katanya ketika dihubungi.
Kemudian tambahnya, misi diteruskan di Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Meranti serta Pusat Khidmat DUN Meranti.
Beliau memberitahu, hari Sabtu pula menyaksikan pasukan Jabatan Amal turun ke Banggol Kulim dalam kawasan Parlimen Rantau Panjang untuk membersihkan PASTI Al-Fitrah.

Menurutnya lagi, misi ini turut mendapat sokongan pihak Penyelia DUN Galas yang turun padang bersama pasukan Jabatan Amal Gua Musang.
Katanya, pihak penyelia juga bersama para sukarelawan, tidak kekok bergelumang dengan lumpur untuk memastikan lokasi-lokasi tersebut dapat dibersihkan sepenuhnya.
“Pihak Jabatan Amal Kawasan Gua Musang mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah di setiap lokasi yang membantu dan mengalu-alukan kehadiran pasukan misi.
“Tahniah juga diucapkan kepada semua anggota yang bertungkus lumus menjayakan misi ini,” ujarnya lagi.
Katanya, semangat ‘Tukar Lelah menjadi Lillah’ terus membakar jiwa para sukarelawan untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 9/12/2024












