
KUALA LUMPUR: Ikon atlet Timur Tengah iaitu pelari pecut dari Bahrain, Roqaya Al-Gassra membuktikan bahawa atlet wanita Muslim mampu mencapai kejayaan tanpa mengorbankan prinsip agama.
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, keberanian beliau dalam pencapaian sukan telah menginspirasikan wanita di seluruh dunia.
Roqaya juga telah memperoleh pelbagai pingat emas dan pernah bertanding di Sukan Olimpik Athens 2004 dan Beijing 2008.
“Adakah kerajaan bercadang untuk menetapkan garis panduan berpakaian khususnya kepada atlet wanita muslimah agar sukan ini dapat disertai oleh ramai wanita tanpa perlu menggadaikan budaya agama serta Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, berkata kementeriannya tidak ada sebarang pandangan negatif terhadap cadangan sedemikian.
“Ada yang patuh syarak dan ada yang lebih terbuka, memang kita sentiasa serahkan. Kita benarkan jika ada negeri yang meletakkan syarat, ataupun syaratnya adalah dibincangkan dan dimaklumkan terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan rancangan kementerian untuk menambah baik stadium dan fasiliti sukan serta membangunkan perkampungan atlet di seluruh Sarawak bagi memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak dapat berjalan dengan lancar. – HARAKAHDAILY 4/12/2024











