
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperincikan kerangka kawal selia yang digunakan terhadap pempengaruh dan pengendali kandungan media sosial, khususnya di platform seperti TikTok.
Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut), ingin mengetahui mengenai kayu ukur atau garis panduan yang diguna pakai kerajaan dalam mengawasi kandungan yang dimuat naik oleh pempengaruh, terutamanya melibatkan podcast dan media sosial.
“Misalnya apabila kerajaan bertindak mengenakan sekatan di platform media sosial terutama akaun-akaun TikTok atas alasan yang berkaitan dengan isu 3R (agama, kaum, dan raja),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, pencipta kandungan yang menyentuh isu-isu sensitif seperti 3R boleh disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya percaya bahawa kebebasan bersuara memang telah disebut dan juga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kita.
“Walau bagaimanapun, memandangkan sensitiviti masyarakat kita, jadi kalau ada isu-isu 3R yang memang menyakitkan hati sesuatu golongan dalam masyarakat kita, jadi demi kedamaian, pihak polis berkuasa untuk mengambil tindakan untuk menyiasat dan akhirnya terpulang kepada mahkamah sama ada mereka ni jatuh hukuman atau tidak,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2024











