
KUALA LUMPUR: Pindaan bahagian kedua Jadual Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 adalah langkah wajar untuk mengekalkan integriti kewarganegaraan.
Senator Musoddak Ahmad berkata, beliau menyifatkan kewarganegaraan sebagai isu eksklusif yang perlu dinilai secara ketat dan mendapat pelbagai pandangan daripada beberapa individu, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya isu itu.
“Secara keseluruhan saya berpendapat pindaan yang dikemukakan ini sangat wajar dan rasional walaupun sesetengah beberapa pindaan ada bersifat agresif.
“Di luar sana berbagai pandangan telah dihantar termasuk semua individu ataupun badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan kewarganegaraan. Kita menerima pandangan itu.
“Saya secara peribadi berpendapat soal kewarganegaraan ini bersifat eksklusif dan bukannya bersifat inklusif dan ia wajar dinilai daripada kaca mata untuk menjaga satu standard dalam penerimaan seseorang menjadi warganegara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, aspek perundangan mahupun peraturan harus mempunyai standard yang ketat terhadap penerimaan mahupun perlucutan kewarganegaraan.
“Oleh demikian, tidak tepat jika kita membandingkan perundangan berkaitan kewarganegaraan ini sama seperti undang-undang yang lain berkait dengan sosial jenayah dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 3/12/2024











