
KUALA LUMPUR: Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mencadangkan agar latihan profesional bagi guru pemulihan khas diperluaskan kepada bidang teknologi pendidikan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam membantu murid.
Beliau berkata, teknologi maklumat perlu menjadi subjek wajib yang dikuasai termasuk dalam kalangan murid yang menerima pendidikan pemulihan khas.
“Lebih-lebih lagi teknologi maklumat yang mesti wajib menjadi satu subjek yang dikuasai oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut menyarankan agar pemberian elaun kepada guru pemulihan khas seperti yang dinikmati oleh guru pendidikan khas.
“Benar mereka ini daripada sudut berbeza. Namun pencapaian dan matlamat kerajaan dalam menghapuskan buta 3M ini dipikul sepenuhnya oleh guru pemulihan khas ini.
“Maka tugas ini perlu dilihat untuk diberikan insentif agar mereka dapat melaksanakan dengan tugas yang terbaik serta mohon diadakan peruntukan khas bagi kelas-kelas pemulihan agar dapat menaik taraf kelas demi keselesaan murid dan guru,” katanya.
Selain itu, beliau memohon agar pegawai meja khusus untuk pemulihan khas diwujudkan semula seperti sebelum ini, untuk mengurus kes-kes berkaitan dan menjadi rujukan utama bagi isu pemulihan khas. – HARAKAHDAILY 3/11/2024











