
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita terhadap kes penderaan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Baginda bertitah, budaya tidak sihat ini perlu dihentikan segera untuk memulihkan nama baik institusi tersebut ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Baginda menegaskan latihan fizikal dan mental keras sememangnya penting untuk melahirkan pegawai tentera, tetapi tidak boleh sampai ke tahap penderaan yang memudaratkan.
“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera,” tegas baginda di laman Facebook rasmi hari ini.
Lebih mendukacitakan, menurut Sultan Ibrahim, adalah apabila kejadian penderaan terus berlaku walaupun kes sebelum ini telah dibawa ke mahkamah, seolah-olah tiada tindakan serius diambil untuk menghentikan budaya ini.
Baginda turut mengingatkan bahawa falsafah utama UPNM adalah untuk menjadi universiti unggul dalam bidang pertahanan, ketenteraan, dan keselamatan, yang berteraskan disiplin dan budaya tentera.
Namun, jika penderaan berterusan, Baginda tidak mahu namanya dikaitkan lagi dengan universiti tersebut.
“Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan amanah,” titah Baginda dengan penuh tegas.
Titah Sultan Ibrahim ini mencerminkan keprihatinan dan pendirian teguh Baginda untuk memastikan integriti UPNM sebagai institusi pengajian tinggi yang melahirkan pegawai tentera berkualiti tetap terpelihara.
Hadir sama Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Mohamad Ab Rahman serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Razarudin Husain.
Juta Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor UPNM, Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad. – HARAKAHDAILY 3/12/2024











