Banjir: Wajar tangguh sementara ujian lisan SPM

Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mencadangkan agar pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir dibenarkan menduduki peperiksaan pada sidang kedua.

- Advertisement -

Beliau berkata, pada tahun 1986, negara pernah menangguhkan peperiksaan SPM selama seminggu akibat banjir di Pantai Timur, sekali gus menunjukkan bahawa tindakan serupa boleh diambil dalam situasi darurat.

“Seperti yang sedia maklum, siri ujian lisan, amali sains dan ujian mendengar BM dan BI SPM berlangsung dalam bulan Disember dan semalam bermulanya ujian lisan Bahasa Melayu. Sebelum ujian ini bermula negara kita dilanda luruan hujan lebat serta musibah banjir yang dahsyat.

“Menurut laporan media semalam, seramai 5,377 orang calon iaitu di negeri Terengganu Kelantan dan Kedah terjejas akibat banjir.

“Saya berpendirian bahawa sewajarnya pihak KPM menangguh sementara perlaksanaan ujian lisan SPM khasnya di negeri-negeri yang teruk dilanda banjir seperti di Kelantan dan Terengganu, sehingga keadaan menjadi stabil dan tenang. Terutamanya di daerah-daerah teruk terkesan dengan bencana ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Fakhruddin bertanya mengenai pelan kontingensi yang diatur oleh KPM bagi memastikan calon-calon dapat mengikuti peperiksaan pada tahap kesediaan terbaik mereka.

“Realiti yang berlaku ada di antara calon-calon pelajar SPM yang buku mereka hanyut di bawa arus banjir.

“Ada yang sudah tidak ada apa yang tinggal buku hilang entah ke mana, peralatan alat menulis juga hanyut semuanya. Ibarat malang Pak Kaduk ayamnya menang kampung tergadai,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan memastikan keselamatan kertas soalan serta kehadiran pegawai pengawas bagi mengelakkan gangguan kepada peperiksaan SPM.

“Apakah langkah-langkah yang diambil oleh KPM bagi memastikan kemudahan prasarana dan logistik pihak KPM sendiri seperti bilik kebal di pusat peperiksaan yang dilanda banjir kehadiran Ketua Pengawas Peperiksaan dan Guru-Guru Pengawas yang berada dalam keadaan bersedia.

“Begitu juga persoalan yang berlegar tentang keselamatan kertas-kertas soalan bagi mengelak daripada isu kebocoran soalan SPM berbangkit,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/2024

- Advertisement -