
KUALA LUMPUR: Ustaz Hassan Saad (PN Baling), menyeru kerajaan memastikan peruntukan kepada institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok, tahfiz, dan sekolah agama rakyat disalurkan secara efektif.
Beliau berkata, kerajaan telah menunjukkan komitmen dalam memperkasakan institusi pendidikan Islam, dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan sebanyak RM119 juta pada tahun 2024 untuk menyelenggara dan menaik taraf 155, tiga institusi pendidikan Islam yang berdaftar.
Namun, Hassan menegaskan keperluan untuk memastikan peruntukan itu digunakan secara optimum dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Apakah mekanisme pemantauan yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan peruntukan kepada sekolah pondok, tahfiz, dan sekolah agama rakyat digunakan secara optimum?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.
Hassan juga menimbulkan isu berkaitan institusi pondok dan tahfiz yang tidak berdaftar, yang sering kali terlepas peluang menerima bantuan.
“Apakah langkah yang diambil oleh kementerian untuk menggalakkan lebih banyak institusi pondok dan tahfiz mendaftar secara rasmi, memandangkan peruntukan sering kali hanya disalurkan kepada institusi yang berdaftar sahaja?” katanya.
Selain itu, beliau meminta kementerian memastikan kualiti pendidikan di sekolah pondok dan tahfiz setanding dengan sekolah arus perdana, khususnya dari segi infrastruktur dan kelayakan tenaga pengajar. – HARAKAHDAILY 3/12/2024











