LPT3: Anggaran RM2.8b kepada RM9.8b sangat tinggi

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang dirancang untuk menghubungkan kawasan strategik di Pantai Timur telah mengalami kelewatan pelaksanaan meskipun pelan asal telah siap sejak beberapa tahun lalu.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, jumlah anggaran perbelanjaan untuk LPT3 telah pun menjangkau RM9.8 bilion berbanding RM2.8 bilion pada 2009.

“Kita faham bahawa lebuh raya itu merupakan suatu tulang belakang kepada Semenanjung dan juga kepada Borneo.

“Kita difahamkan bahawa kini Kelantan dan Terengganu dalam keadaan banjir. Adakah pengiraan ini diambil kira berdasarkan kepada situasi yang berlaku ketika 2014 di mana keadaan kawasan rendah telah pun banjir sebagaimana hari ini?

“Hampir semua terputus komunikasi antara Kelantan dengan negeri lain kerana kita mempunyai ‘jalan yang rendah’. Jadi dalam pengiraan ini apakah kriteria yang akan diguna pakai oleh pihak kementerian dalam pembinaan lebuh raya baru?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada aspek ketinggian lebuh raya telah diambil kira untuk memastikan penggunaannya kekal selamat dan berfungsi semasa bencana atau krisis.

“Berapakah perincian kerana kalau kita kira dari segi inflasi RM2.8 bilion pada 2019 berbanding dengan RM9.8 bilion pada 2024 ini sangat tinggi dengan kadar yang tidak munasabah.

“Selain itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan bahawa akan ada kenaikan taraf untuk Lebuhraya Pantai Timur ataupun Barat yang telah pun dijanjikan pada bajet yang lepas. Bilakah naik taraf ini akan dimulakan?

“Apakah perkara yang perlu dinaik taraf dan berapakah kos yang telah pun diselesaikan kerana pada ketika itu saya tanya tahun lepas Yang Berhormat Menteri kata akan diperincikan. Jadi tahun ini saya nak bertanya semula,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, berkata kementeriannya telah mengambil pengajaran daripada kejadian terdahulu, khususnya dalam menangani isu banjir yang disebabkan oleh paras jalan yang rendah.

“Kalau diizinkan saya akan bagi jawapan penjelasan secara bertulis kepada Yang Berhormat Tumpat kerana saya tidak ada maklumat terperinci di sini,” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawan soalan Ir Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status naik taraf jalan yang diklasifikasikan sebagai Red Line di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk naik taraf jalan tersebut. – HARAKAHDAILY 28/11/2024

- Advertisement -