
KUALA LUMPUR: Ramai pengguna lebuh raya menghadapai masalah dalam menggunakan sistem frekuensi radio (RFID).
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata masalah tersebut telah menyebabkan berlakunya kesesakan di plaza-plaza tol.
Beliau juga menyatakan bahawa ramai ahli Parlimen tidak terkecuali terpaksa menghadapi permasalahan yang sama ketika menggunakan RFID.
“Persoalan saya, adakah kerajaan mempunyai data berkaitan dengan gangguan sistem RFID di plaza-plaza tol ini?” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat Hari ini.
Bagi menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa kerajaan akan terus memperbaiki sistem RFID tersebut.
“Ini kerana apa yang berlaku ialah ada kalanya pengesan (tag) RFID tersebut rosak yang sememangnya perlu dibaiki berbeza dengan Smart Tag yang boleh diubah ke Touch N Go jika berlakunya masalah sebegitu,” katanya.
Beliau menegaskan kos membaiki satu pengesan tersebut adalah sebanyak RM35 tetapi akan terus memastikan bahawa sistem RFID tersebut akan terus dibaiki.
Muhammad Fawwaz turut bertanyakan adakah kerajaan berhasrat untuk menggunakan sistem tol tanpa palang dalam negara ini.
“Jadi, saya nak bertanya adakah kerajaan berhasrat menggunakan sistem tersebut dalam negara kita?” katanya.
Ahmad menyatakan sistem plaza tol tanpa palang sudah mula dilaksanakan di negara Singapura, Indonesia dan Thailand.
“Namun begitu, sekiranya ingin melakukan sistem tersebut maka kita kena pinda akta bagaimana cara dan siapa perlu membayar tol tersebut,” katanya. Beliau menyatakan bahawa perlu tunggu sehingga 16 Desember bagi mendapat sokongan 33 kerusi mengenai cadangan tersebut dan sekiranya tidak mendapat sambutan maka kerajaan akan membuat cadangan lain.– HARAKAHDAILY 25/11/2024











