
RAMAI yang bertanya berkenaan pendedahan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa terdapat usaha untuk memujuk supaya Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu. Sehingga ada yang menawarkan jawatan Perdana Menteri sekiranya BN sanggup tinggalkan kerajaan yang ada.
Saya sendiri tidak tahu menahu mengenai tawaran dan rundingan ini. Boleh jadi wujud atau tidak, wallahualam. Dato’ Seri Zahidlah orang yang lebih mengetahui. Kenapa beliau tidak dedahkan sahaja nama individu yang berunding itupun tidak diketahui, biasanya jika ada maklumat yang disimpan ertinya boleh jadi rundingan masih berjalan. Atau boleh jadi cerita ini tidak benar, tapi mustahil Timbalan Perdana Menteri kita nak mereka-reka cerita.
Andaikan ia benar, ia tidaklah salah kerana ‘cikgu’ Dato’ Seri Zahid sendiri pun sudah mengamalkan kaedah ini sejak tahun 2008 lagi di dalam projek 16 September. Itulah kali pertama negara didedahkan dengan kemungkinan berlaku peralihan kerajaan dengan peralihan sokongan Ahli Parlimen. Jika ‘cikgu’ sendiri sudah mengajar kaedah tersebut, adalah tidak pelik selepas belasan tahun, anak-anak murid pun sudah ramai yang pandai melakukannya. Jadi, ia tidak mustahil bahkan pernah berlaku pada awal tahun 2021 ketika Tan Sri Muhyidin Yasin terpaksa meletakkan jawatan kerana beberapa orang Ahli Parlimen Barisan Nasional mengisytiharkan menarik sokongan.
Adapun peletakan jawatan Tun Dr Mahathir pada awal tahun 2020 tidak boleh diambil kira kerana beliau letak jawatan secara sukarela dengan tiada hambatan undang-undang dan Perlembagaan. Bagaimanpun dalam kedua-dua kes ini, sebenarnya ‘cikgu’ telah mendahuluinya dengan teori pada tahun 2008, cuma ia tidak berjaya ekoran ‘rombongan sambil belajar’ ke Taiwan.
Isu jawatan Perdana Menteri pun bukanlah satu perkara yang pelik. Ini kerana Dato’ Seri Zahid yang layak untuk jawatan itu. Dato’ Seri Zahid sekarang sudah suci, umpama air mutlak yang suci lagi menyucikan. Tiada lagi yang menghalang. Kes-kes mahkamah sudah digugurkan oleh Peguam Negara. Cumanya dengan status DNAA ia boleh dibuka semula jika ada arahan dan keputusan baru. Jika Dato’ Seri Zahid dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak mustahil ia boleh bertukar kepada DNA – dibebaskan sepenuhnya tanpa ada bantahan pun daripada Pakatan Harapan kerana mereka telah lakukannya dari awal.
Jadi, pendedahan Dato’ Seri Zahid ini tidak pelik, bahkan boleh jadi Dato’ Seri boleh terima dengan tangan terbuka. Dalam pada media bicarakan siapakah calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional sekarang, apa salahnya Dato’ Seri Zahid juga menjadi salah seorang calon Perdana Menteri?
AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 25/11/2024











