
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersedia dari pelbagai aspek bagi merealisasikan penggunaan tenaga nuklear pada masa hadapan.
Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) menyambut baik kenyataan kerajaan yang bercadang menggunakan tenaga nuklear, namun menekankan keperluan memperkukuh kerangka kawal selia bagi memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan selamat dan memberi manfaat kepada negara.
Beliau menegaskan, MOSTI harus memainkan peranan penting melalui Jabatan Tenaga Atom dan agensi berkaitan untuk menyediakan cadangan konkrit bagi meningkatkan kerangka kawal selia itu.
“(Itu) supaya Malaysia benar-benar bersedia untuk sepertimana diumumkan oleh menteri akan pada satu hari nanti menggunakan tenaga nuklear supaya ia dapat dijalankan dalam keadaan yang selamat dan memberi manfaat kepada negara di dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang teknologi nuklear, khususnya dalam sektor pertanian seperti pengeluaran padi nuklear yang dikatakan mampu meningkatkan hasil secara signifikan.
Katanya, sehingga kini manfaat R&D itu masih belum diterjemahkan kepada impak sebenar kepada rakyat.
Ahmad Amzad turut mencadangkan agar kerajaan mempercepatkan pengkomersialan teknologi tempatan dengan memanfaatkan pendekatan inovasi seperti sandbox MOSTI, bagi menyokong agenda pembangunan negara melalui tenaga nuklear dan teknologi strategik lain. – HARAKAHDAILY 25/11/2024











