
SHAH ALAM: Anggaran perbelanjaan mengurus Selangor yang meningkat daripada RM120 juta kepada RM139 juta pada 2025 mencetuskan persoalan terutama mengenai pecahan signifikan dalam perkara emolumen.
Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) berkata, salah satu pecahan yang mencatatkan kenaikan ialah emolumen yang meningkat daripada RM26 juta kepada RM27 juta.
“Apakah peningkatan itu ada pertambahan perjawatan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada kerajaan negeri?
“Kerana akan menyebabkan ada implikasi kewangan pada 2025 dalam kod emolumen yang meningkat sebanyak hampir RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2025 peringkat Jawatankuasa bagi Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Azmin yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, turut mempersoalkan jumlah anggota perkhidmatan awam di bawah kawal selia Kerajaan Selangor dari segi penggajian.
“Saya faham sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam dan pegawai, tertakluk kepada sistem penggajian di peringkat Persekutuan.
“Tetapi saya percaya hampir 20,000 anggota perkhidmatan awam di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri ini di bawah kawal selia Kerajaan Negeri.
“Maka saya ingin melihat apakah implikasi kewangan dengan pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2024











