
AYER KEROH: Kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di negeri negeri ini menunjukkan kelemahan dalam pengurusan bencana yang semakin mendalam.
Kejadian termasuk di Bandar Jasin dan Daerah Melaka Tengah telah merosakkan harta benda dan menyebabkan kerugian besar, malah memberi kesan negatif kepada sambutan Tahun Melawat Melaka 2024.
Ketua Pembangkang DUN Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu mengambil langkah serius dalam menangani isu itu.
“Di mana peranan portfolio pengurusan banjir? Kenapa terlihat fungsi kerajaan semakin melemah dalam menyelesaikan isu ini? Apakah peruntukan yang cukup telah disalurkan untuk mereka menyelesaikan masalah yang tidak ada kesudahan ini?
“Kerajaan negeri seolah-olah tiada perancangan khusus untuk selesaikan masalah membabitkan pengurusan bencana yang efektif,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Melaka itu turut mengkritik kurangnya pelaksanaan segera oleh Exco yang berkaitan pengurusan bencana di mana sepatutnya merangka pelan mengurangkan impak kepada mangsa banjir.
ADUN Bemban itu menyeru kerajaan negeri seharusnya memikirkan perancangan lebih berkesan dalam menghadapi cabaran bencana yang semakin mencabar, bukannya hanya sekadar beri sumbangan ‘one-off’ RM200 atau RM300.
“Kerajaan negeri sewajarnya perlu lebih serius untuk menangani isu bencana ini, ingatlah bahawa rakyat Melaka sedang menilai dan semakin bosan dengan ketidakberkesanan langkah pengurusan bencana oleh kerajaan negeri amnya,” tegasnya.
Selain itu, Yadzil turut mengingatkan bahawa projek tebatan banjir masih belum selesai sepenuhnya, sementara kerajaan negeri terkesan dengan kesibukan mempromosikan pembangunan fizikal seperti pembukaan jejantas dan jalan raya.
“Sangat mustahil kerajaan negeri tiada peruntukan untuk perbaiki sistem perparitan yang ada, maka tidak seimbang dengan kemegahan mengumumkan perlaburan berjuta ringgit masuk ke negeri Melaka tapi gagal menyelesaikan masalah banjir,” ujarnya.
Beliau menyarankan agar pembangunan yang dirancang perlu seiring dengan keadaan infrastruktur sedia ada untuk menampung perubahan persekitaran akibat pembangunan tersebut.
“Ingat, rakyat memerhati dan semakin muak,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2024











