
MASALAH penyeludupan barangan bersubsidi di Malaysia seperti minyak masak, petrol, diesel, beras mahupun tepung gandum sering didengari oleh rakyat sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Isu ini bagaikan tiada kesudahannya apabila masalah tersebut sering berlaku walaupun pelbagai undang-undang dan penguatkuasaan telah dijalankan.
Saat ini, kehidupan rakyat dibelenggu dengan kenaikan kos harga barang keperluan di pasaran, di samping kekurangan bekalan makanan seperti beras, minyak masak dan sebagainya. Tetapi bekalan makanan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat tempatan masih dibawa keluar dari negara secara haram angkara tangan-tangan jahat tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya.
Masalah ini kian meruncing disebabkan harga barangan bersubsidi di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara-negara jiran, lantas menjadikannya daya tarikan kepada sindiket yang ingin meraih keuntungan besar.
Di Malaysia, terdapat sembilan pintu masuk yang mengawal kemasukan bukan sahaja barangan, malah pelancong tempatan dan luar negara seperti KLIA1, KLIA2 dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di Kelantan; Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah serta Padang Besar dan Wang Klian di Perlis, juga Tambak Johor di Johor, selain pintu laut di beberapa negeri antaranya Johor.
Namun, dengan sebegini banyak pintu masuk dan ‘checkpoints’ di negara ini dan begitu banyak agensi kerajaan dipertanggungjawabkan menjaganya, masalah penyeludupan khususnya barangan bersubsidi tidak pernah berhenti. Hal ini sekali gus menibulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia yang khuatir jika masalah ini tidak dibanteras seperti sepatutnya.
Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah membanteras sebanyak 3,012 cubaan penyeludupan pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai lebih RM300 juta.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin berkata, pihaknya selaku barisan hadapan sempadan negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan barangan bersubsidi dan hasil negara di masa hadapan.
Inisiatif tersebut termasuk pengenalan transaksi dalam talian dan pengemaskinian maklumat berkaitan dasar percukaian bagi memudahkan entiti perniagaan dan orang awam mendapatkan maklumat terkini.
Selain itu, JKDM akan memodenkan prosedur pelepasan kastam dengan menggunakan teknologi dan inovasi seperti mesin pengimbas yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan untuk menyelaraskan beberapa perkara lain.
Keberkesanan penguatkuasaan oleh pihak-pihak yang berwajib sering menjadi sasaran pertama apabila melibatkan isu penyeludupan barangan bersubsidi. Selaku barisan hadapan sempadan negara, besar tanggungjawab mereka dalam menangani isu ini dan melindungi rakyat dan negara daripada mengalami kerugian.
Adakah agensi penguatkuasaan sedia ada hari ini mempunyai sumber tenaga kerja dan teknologi yang diperlukan dan mencukupi untuk membanteras sindiket penyeludupan yang semakin pintar dan canggih dalam kemampuan mereka? Tidak mengejutkan jika kita lihat sindiket-sindiket ini mempunyai kemampuan yang jauh lebih hebat daripada agensi penguatkuasaan kita.
Tambahan pula, sejauh mana pula integriti pegawai penguatkuasa yang bebas daripada sebarang unsur sogokan, rasuah mahupun makan duit ‘atas angin’ oleh sindiket penyeludupan yang senantiasa mencari peluang untuk ‘mencalarkan’ imej baik agensi penguatkuasa seperti JKDM?
Dasar subsidi yang digunakan di Malaysia sejak sekian lama mungkin banyak kelompongannya dan sudah tidak lagi relevan untuk diguna pakai di negara ini. Tidak mustahil, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji adakah dasar subsidi hari ini masih sesuai untuk diaplikasikan agar ia dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat yang benar-benar memerlukan.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS (HAKK), Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, pengapungan harga serta pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan oleh kerajaan pada Jun lalu akan menyebabkan kenaikan mendadak kepada kos perniagaan dan menyebabkan pengguna menanggung beban.
“Melalui mekanisme pengapungan harga diesel mengikut harga pasaran ini, peningkatan mendadak kos bahan api untuk aktiviti logistik, jentera berat serta penghantaran akan menyebabkan peningkatan ketara kepada harga servis dan perkhidmatan.
“PAS juga sebenarnya melihat ketidakmampuan kerajaan dalam menangani isu ketirisan diesel serius yang berlaku, terutama daripada aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran yang dianggarkan berjumlah kira-kira 3 juta liter sehari,” katanya.
Adakah kerjasama rentas sempadan di antara negara jiran khususnya Thailand dan Indonesia cukup kukuh? Tatkala ramai rakyat dengan mudah merentasi sempadan negara untuk pelbagai tujuan seperti melancong dan sebagainya?
Perkara ini perlu diberikan perhatian sepenuhnya kerana dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan dan adanya pihak-pihak yang mengambil kesempatan terhadap betapa mudahnya sempadan antara dua negara jiran ini untuk direntasi.
Terang lagi bersuluh, isu penyeludupan barangan bersubsidi di Malaysia merupakan isu yang telah lama wujud dan memberi kesan negatif kepada ekonomi, keselamatan, dan masyarakat.
Persoalan-persoalan yang timbul ini seharusnya diselesaikan oleh pihak berwajib agar barang-barang bersubsidi dapat dinikmati oleh rakyat yang benar-benar memerlukan dan menghalang pihak yang tidak bertanggungjawab daripada terus meraih keuntungan.
Masalah penyeludupan barangan bersubsidi memerlukan tindakan bersepadu daripada kerajaan, agensi penguatkuasa, dan masyarakat. Dengan pelaksanaan langkah berkesan dan kesedaran tinggi, isu ini dapat dikawal untuk memastikan subsidi kerajaan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar memerlukan.
Perkembangan yang berlaku, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini telah merangka Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan agensi tunggal kawalan negara (SBA).
Kabinet kemudian meluluskan menubuhkan entiti baharu SBA yang memakai satu nama dan seterusnya beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan baharu.
Pada Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.
Inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk, antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) akhirnya dimuktamadkan sebagai agensi tunggal yang akan mengawal selia sempadan negara bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara bermula awal tahun ini.
Namun, mutakhir ini kejadian penyeludupan yang merupakan gambaran kepada ketirisan dan penyelewengan subsidi oleh pihak tertentu masih juga berlaku ketika kerajaan pemerintah kini dikatakan bertiwikrama memerangi jenayah ini.
Kerana masalah ini jugalah antara sebab pemansuhan subsidi diputuskan di mana dengan segala belanja besar kerajaan cuba membendung masalah jenayah tersebut, ia tetap bocor dan bolos. Di manakah silapnya? Akhirnya, rakyat juga yang menjadi mangsa. – HARAKAHDAILY 23/11/2024











