Rakyat tidak teruja menanti Belanjawan Selangor

- Advertisement -

TANJONG KARANG: Keterujaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan rakyat di negeri ini terhadap Belanjawan Selangor 2025 yang dibentangkan 15 November lalu semakin merosot jika dibandingkan dengan sebelum-sebelum ini.

- Advertisement -

ADUN Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, pembentangan itu menyaksikan defisit selama tujuh tahun berturut-turut menunjukkan kerajaan negeri mempunyai ‘nafsu’ besar untuk berbelanja walaupun di luar kemampuan sebenar.

“Walaupun (defisit) dibenarkan dalam Perlembagaan, tapi ia satu tanda bahawa ekonomi berada dalam keadaan tidak berapa baik. Seolah-olah kita mempunyai nafsu besar untuk berbelanja, tetapi keadaan kewangan tidak berapa mengizinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian di program Bicara HD bertajuk “Belanjawan Selangor 2025: Ke Mana Hala Tuju?” yang dimoderatorkan oleh Suffi Kamari, lewat malam tadi.

Tambah Zamri yang juga merupakan Ketua Ulamak PAS Selangor, masalah pentadbiran di peringkat Persekutuan turut menyebabkan rakyat di negeri ini tidak lagi ternanti-nanti insentif dan bantuan yang mungkin akan diberikan.

“Dulu sewaktu keadaan hutang negara tidak begitu besar berbanding sekarang, ketika itu mungkin insentif-insentif banyak, dan orang nak tengok bagaimana ‘gula-gula’ yang diberikan oleh kerajaan untuk dinikmati.

“Tetapi kebelakangan ini dengan masalah negara, masalah dunia yang berjangkit ke negeri Selangor, ‘jajan-jajan’ itu kadangkala sudah tidak ‘menggiurkan’ disebabkan recycle perkara lama dan adakalanya menurun,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2024

- Advertisement -