
KUALA TERENGGANU: “Siapakah individunya, dan dari parti mana, entiti mana serta kelompok manakah yang memberikan arahan supaya disukarkan penyaluran dana royalti minyak dan gas Terengganu?” soal Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, tidak wajar mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa sementara yang dimiliki untuk terus menekan dan mendera rakyat serta negeri Terengganu.
“Janganlah cuba berselindung di sebalik kuasa sementara yang diberikan oleh Allah ini, tunjukkan keberanian untuk mengaku supaya rakyat seluruh negeri, negara dan dunia jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri menyeru agar budaya politik balas dendam akibat perbezaan parti politik itu dihentikan kerana ia hanya membawa negara ke belakang.
“Saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain, akan senantiasa memperjuangkan budaya politik lebih segar dan berubah mengikut zaman dan bertekad untuk menggerakkan kefahaman rakyat.
“Supaya kita semua meninggalkan budaya politik diskriminasi balas dendam akibat warna parti politik dan ini adalah satu rupa bentuk tajdid (reform) yang semestinya berlaku dalam negeri dan negara kita.
“Jangan kita mendera pilihan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan. Dek kerana rakyat tidak memilih kita, maka kita mendera rakyat dengan sekatan dan penyempitan pelbagai perkara.
“Semua ini adalah budaya lama kolot politik balas dendam, yang membawa negara kita ke belakang dan jauh dari keharmonian,” katanya yang juga ADUN Rhu Rendang.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pemimpin politik, baik di peringkat negeri mahupun nasional, untuk menghentikan kitaran ganas tersebut.
“Sebagai pemimpin kita mesti mempunyai iltizam dan tekad yang kuat, untuk menghentikan kitaran ganas dendam sebegini. Jika tidak, jangan kita bercakap mengenai reformasi, jangan kita berucap menabur janji menjangkaui awan.
“Dan sudah tentunya jangan kita bercakap mengenai hasrat membawa rakyat ke era yang baharu dan jauh ke depan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan sekatan royalti dan tekanan kepada pihak lawan tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihan raya, malah hanya memburukkan lagi keadaan.
“Apakah kita sanggup membayar harga yang mahal, dengan mengorbankan keharmonian rakyat, dek kerana kepentingan politik yang sementara?
“Ingatlah, bahawa orang politik akan terus disumpah seranah oleh generasi akan datang, sebagai kelompok yang mementingkan diri sendiri dan politik kepartian melebihi dari menjaga kepentingan rakyat dan negara.
“Apakah masih ada pihak yang berfikir, dengan tindakan sekatan royalti, termasuk sekatan terhadap wakil rakyat ke institusi pendidikan dan pelbagai jenis tekanan kepada parti lawan dan rakyat.
“Ia akan menyebabkan rakyat menyukai dan memberikan kemenangan dalam pilihanraya?,” soalnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024











