Muslimat seru hentikan politik di institusi pendidikan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyatakan kebimbangan terhadap isu-isu yang dianggap mencemarkan integriti institusi pendidikan negara melalui unsur-unsur politik.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Maznah Muftahuddin berkata, pendidikan harus menjadi platform utama untuk membentuk sahsiah dan pembangunan intelek generasi akan datang, bukannya medan mencatur agenda politik tertentu.

Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap campur tangan politik terhadap institusi pendidikan awal seperti PASTI, yang selama ini berfungsi sebagai tempat pendidikan kanak-kanak berteraskan nilai Islam.

“Gangguan terhadap PASTI perlu dihentikan bagi memastikan pendidikan pra-sekolah terus berjalan lancar tanpa unsur politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kata beliau, kejadian melibatkan Exco Kerajaan Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dihalang memasuki Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mewakili Menteri Besar turut menimbulkan layanan tidak adil terhadap pemimpin negeri.

“Tindakan sebegitu membangkitkan persoalan tentang sikap ‘double-standard’ dalam layanan terhadap ahli politik. Adalah tidak wajar seorang pemimpin negeri yang ingin berkongsi ilmu dan pengalaman disekat daripada berinteraksi dengan mahasiswa.

“Tambahan pula kehadiran beliau adalah atas kapasiti mewakili Menteri Besar Terengganu,” kata Maznah turut mempersoalkan kehadiran individu yang dikenali sebagai cybertrooper PH-BN dalam program motivasi di sekolah-sekolah di Terengganu.

Menurutnya, lebih membimbangkan, terdapat laporan bahawa individu seperti Wan Mahusin, yang dikenali sebagai cybertrooper PH-BN, dipanggil untuk menyampaikan program motivasi di sekolah di Terengganu.

“Walaupun tidak mempunyai kelayakan yang sah dalam bidang tersebut. Ini menimbulkan persoalan tentang standard dan objektif penganjuran program motivasi di sekolah-sekolah kita,” ujarnya.

Beliau juga melihat ketidakadilan apabila ahli politik Umno Terengganu bebas memasuki program-program di sekolah, manakala pimpinan kerajaan negeri dan pimpinan PAS dihalang, meskipun mereka adalah sebahagian kerajaan negeri yang bertujuan menyelesaikan isu bencana.

“Perkara ini tidak menggambarkan sikap keterbukaan dan profesionalisme dalam sistem pendidikan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu penyalahgunaan platform dakwah oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu, di mana isu-isu politik didakwa dibawa ke dalam program tersebut.

Tindakan seperti ini, menurut Dewan Muslimat, boleh menggugat kepercayaan masyarakat terhadap objektiviti institusi pendidikan. 

“Rentetan dari program-program yang berlangsung di Terengganu ini menunjukkan PH-BN memandang rendah keupayaan dan intelektual warga pendidikan.

“Kecenderungan pihak PH-BN dalam menekan mahasiswa melalui pelbagai cara juga perlu dihentikan. Semua warga pendidikan sepatutnya diberi peluang untuk berfikir secara kritis dan objektif tanpa manipulasi politik yang mencemarkan budaya ilmu.

“Mahasiswa perlu diberikan hak untuk mendengar dan berdialog dengan pelbagai pihak tanpa sekatan yang bersifat diskriminasi,” katanya.

Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu juga menyeru agar pihak berkuasa pendidikan kembali kepada prinsip asal, iaitu membina generasi berilmu, berintegriti, dan bebas daripada tekanan politik.

“Keadilan dan keterbukaan mesti menjadi asas dalam segala tindakan yang melibatkan institusi pendidikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/11/2024

- Advertisement -