
KUALA TERENGGANU: Terengganu wajar dijadikan model perpaduan masyarakat memandangkan negeri itu tidak menghadapi sebarang isu pergeseran antara kaum.
Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, ia sekali gus membuktikan bahawa aktiviti perpaduan yang dilaksanakan di negeri ini telah mencapai matlamat dan sasarannya.
“Antara model yang dilaksanakan adalah program menyantuni golongan kurang berkemampuan yang melibatkan pelbagai kaum. Walaupun kebanyakan individu yang diziarahi adalah orang Melayu, program tersebut turut disertai oleh kaum Cina, India, serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Sebelumnya, Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) meminta penjelasan mengenai aktiviti yang dijalankan bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum serta sejauh mana aktiviti-aktiviti ini mencapai matlamat.
Beliau berkata, perpaduan di Terengganu bersifat merentas kaum dan tidak hanya tertumpu pada musim perayaan seperti Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
“Kita juga mempunyai pegawai yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal bukan Islam di Pejabat Menteri Besar dan penglibatan aktif mediator komuniti dalam masyarakat untuk memastikan keharmonian tanpa mengira batasan kaum,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2024











