
KUALA LUMPUR: Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) membangkitkan isu pembatalan Seksyen 4 dan Seksyen 15B Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) oleh Mahkamah Persekutuan serta langkah pihak berkuasa menangani jenayah terancang.
Beliau menegaskan bahawa pembatalan dua peruntukan penting itu menjejaskan kuasa polis dalam menahan penjenayah di bawah POCA.
“Bagi memastikan Akta POCA kekal dapat dikuatkuasakan, sejauh manakah fungsi Lembaga Pencegahan Jenayah yang wujud di bawah akta ini boleh ditambah baik dengan mengurangkan kuasa menteri untuk menguatkuasakan akta ini?” ujarnya.
Beliau mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, memaklumkan bahawa pihak berkuasa menggunakan akta lain untuk membendung jenayah selepas pembatalan peruntukan tertentu.
Beliau berkata, kementerian sedang mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk pakar undang-undang antarabangsa, untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Beliau mengalu-alukan pandangan dan cadangan bagi memperhalusi usaha memperkukuh undang-undang pencegahan jenayah. – HARAKAHDAILY 20/11/2024











