KDN FC harap tuah harungi Piala Malaysia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Oday Kharoub mengakui pasukannya berdepan laluan sukar meneruskan aksi pada perlawanan Piala Malaysia.

- Advertisement -

KDN FC dijadual bertemu Perak FC di peringkat kalah mati yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu Jumaat ini.

Pemain Import dari Pelestin itu berkata, pasukannya sedar kekuatan Perak FC kerana dibarisi pemain berkualiti.

Bagaimanapun kata beliau persiapan rapi dibuat dan berharap ia mampu membuahkan kemenangan kepada KDN FC.

“Walaupun kami sebagai tuan rumah tetapi tidak dapat beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV kerana masih diselenggara,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya juga pertembungan itu untuk melayakkan KDN FC beraksi ke pusingan suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Beliau juga berharap rakan sepasukan perlu melupakan kekalahan demi kekalahan pada aksi Liga Super sebelum ini bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada saingan Piala Malaysia.

“Apa yang kami pamerkan dalam sesi latihan kali ini akan cuba diterjemahkan ketika perlawanan berlangsung menentang Perak FC nanti,” katanya.

Oday juga berkata, perlawanan Piala Malaysia cukup penting untuk mengembalikan kepercayaan penyokong bagi terus memberi sokongan sepanjang Liga Malaysia (Liga M) berlangsung. – HARAKAHDAILY 20/11/2024

- Advertisement -