
KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak bagi melaksanakan reformasi sektor pertanian dengan segera bagi memastikan keberkesanan dalam pengeluaran padi dan keterjaminan makanan negara.
Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) menyifatkan banyak janji reformasi sebelum ini tidak membuahkan hasil, sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat.
“Reformasi janji nak turun harga minyak tak turun, nak bagi peruntukan Ahli Parlimen pun tak bagi. Jadi bila reformasi padi ini nak dilaksanakan?” soal beliau ketika perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengeluaran padi yang semakin menurun walaupun peruntukan tahun 2025 meningkat kepada RM2.6 bilion.
Menurutnya pengeluaran padi tahun lepas tinggi, namun tahun ini berkurangan, sambil mempersoalkan jaminan supaya pengeluaran tidak terus merosot.
Beliau juga menegur kementerian kerana gagal mengawal harga perkhidmatan seperti traktor walaupun harga diesel telah menurun.
Shahidan menegaskan bahawa semasa harga diesel RM3.35, harga traktor ialah RM340, tetapi kini walaupun harga diesel turun kepada RM2.95, harga traktor tetap tidak turun, dan sepatutnya kementerian mengawal keadaan tersebut.
Selain itu, beliau meminta subsidi dan insentif kepada petani ditingkatkan bagi memastikan mereka terus bersemangat untuk mengusahakan sawah.
Beliau juga meminta supaya harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,500 atau lebih bagi membantu petani.
Shahidan turut menekankan keperluan memperbaiki kualiti racun yang diberikan kepada petani.
“Racun yang diberikan perlu ada kualiti. Sekarang ini banyak aduan tentang kualiti yang kurang memuaskan,” jelasnya.
Dalam perbahasannya, beliau mempersoalkan pembinaan jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan sawah tanpa perancangan.
“Jalan ini menyebabkan air tersekat dan menjejaskan hasil padi. Kerajaan perlu utamakan pembinaan jalan ladang,” katanya lagi.
Beliau menggesa kementerian memberikan komitmen nyata terhadap isu-isu tersebut dan tidak sekadar membaca jawapan pegawai, sambil menekankan agar kerajaan menyatakan komitmen untuk menyelesaikan masalah itu.
Shahidan menegur kelemahan kawalan kos pengeluaran padi yang membebankan petani dan menyatakan bahawa jika kos terus meningkat tanpa kawalan, petani akan hilang motivasi untuk mengusahakan sawah.
Selain itu, beliau menyokong usaha reformasi tetapi menuntut pelaksanaannya segera dan berkesan.
“Hang buat reformasi apa pun, kalau tidak ada kawalan dan penguatkuasaan yang baik, semuanya tidak akan menjadi,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024











