Perkasa industri buluh untuk masa depan negara – Bakri

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) menyeru kerajaan untuk memperkukuh strategi menjadikan buluh sebagai sumber baharu ekonomi negara.

- Advertisement -

Beliau menekankan bahawa buluh, yang dijangka mencapai nilai pasaran global sebanyak USD100 bilion menjelang 2030, mempunyai potensi besar sebagai sumber tenaga hijau dan bahan utama dalam pelbagai industri seperti elektronik, farmaseutikal, serta pembinaan.

“Buluh hari ini bukan lagi ‘wood for poor’ tetapi adalah ‘wood for future’ dengan keupayaan menyerap karbon yang tinggi dan kematangan dalam masa empat tahun,” katanya.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Bakri turut mencadangkan projek rintis bagi menjana tenaga hijau melalui proses pirolisis buluh yang mampu menghasilkan bahan seperti biokarbon, cuka kayu, dan gas hidrogen untuk tenaga elektrik mesra alam.

Menurut beliau, lima teras pembangunan dalam Pelan Tindakan Industri Buluh 2021-2030 perlu diberi perhatian serius, termasuk pengukuhan dasar, peningkatan modal insan, inovasi teknologi, dan strategi pemasaran.

Beliau juga menggesa kerjasama dengan negara serantau seperti Indonesia, Thailand, dan Filipina untuk membangunkan spesies buluh berkualiti tinggi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada import bernilai RM100 juta setahun.

Bakri mencadangkan penubuhan pusat sehenti ‘Bamboo One-Stop Center’ untuk menyelaraskan maklumat dan rujukan bagi pemain industri.

Selain itu, beliau menyoal keberkesanan peningkatan belanjawan RM3.2 juta kepada Lembaga Koko Malaysia, terutamanya dalam mengintegrasikan kelapa sebagai salah satu komoditi utama di bawah lembaga tersebut.

Beliau juga membangkitkan isu rendahnya produktiviti pekebun kecil koko yang hanya mencapai 43.9 kg/hektar berbanding 1,000 kg/hektar pada masa lalu.

Mengenai Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Bakri mempersoalkan tujuan pinjaman RM50 juta di bawah program pembangunan ladang hutan yang mencadangkan penanaman spesies buluh tertentu.

Beliau turut menyuarakan cabaran undang-undang yang tidak mengiktiraf buluh sebagai spesies kayu hutan, menyebabkan kesukaran bagi syarikat untuk menjalankan aktiviti komersial berkaitan.

“Apakah langkah kerajaan untuk memastikan ladang komersial buluh dilaksanakan dan pencapaian Program Komuniti Farming Buluh di bawah RMK-12 dapat direalisasikan?” tanya beliau.

Bakri juga membangkitkan isu kelewatan pelaksanaan projek ladang buluh di Dungun, walaupun tanah seluas 400 hektar telah diluluskan oleh Pejabat Tanah.

Beliau berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap potensi buluh sebagai komoditi baharu yang mampan, lestari, dan mampu menjana pendapatan negara. – HARAKAHDAILY 18/11/2024

- Advertisement -