Pemuda PAS perkukuh tarbiah, lonjak agenda perubahan

- Advertisement -

KUANTAN: Mukhayyam Tarbawi Perdana 1.0 PAS Pahang menjadi platform penting memperkukuh tarbiah dan menguatkan jentera Pemuda PAS negeri.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih berkata, program tersebut bukan sekadar pertemuan biasa tetapi ia menjadi batu loncatan melonjakkan agenda perubahan dalam memastikan kelangsungan dan daya tahan gerak kerja parti.

Katanya, program dua hari yang berlangsung di Putra Balok di sini pada Jumaat dan Sabtu lalu menjadi pemangkin dalam memastikan para amilin parti tidak mudah lesu dan kekal fokus dalam perjuangan tarbiah dan siasah.

“Pemuda PAS Pahang akan terus istiqamah mengajak masyarakat bersama membina peradaban baru di Pahang. Kami berpegang pada agenda yang selari dengan Al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.

Menurut beliau, keberkatan dalam pentadbiran hanya dapat dicapai dengan melaksanakan perintah Allah secara menyeluruh, termasuk menegakkan amar makruf, nahi mungkar, serta mengutamakan halal dan haram.

“Islam yang syumul tidak boleh dipisahkan. Kita mesti menolak fikrah sesat yang mengambil sebahagian ajaran Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain,” ujarnya.

Zarimi turut menjelaskan bahawa agenda besar PAS Teraju Pahang bertujuan mengubah landskap politik yang sempit, perkauman, dan penuh dendam kepada politik matang dan sejahtera demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira agama atau kaum.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar di dalam ucapan penutupannya menyebut Mukhayam Tarbawi seterusnya bakal diadakan di zon barat bersekali pelancaran Liqa’ Fikri PAS Pahang.

Sebaik saja program tersebut selesai, kesemua peserta bergegas ke Pantai Balok bagi menjayakan Hari Keluarga PAS Pahang disambung pada sebelah malamnya pula dengan Munaqasyah Ucaptama Pemuda PAS Malaysia. – HARAKAHDAILY 18/11/2024

- Advertisement -