
KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru untuk mencontohi kejayaan Indonesia dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang disesuaikan dengan bahasa dan budaya tempatan.
Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) menyatakan bahawa gabungan Gojek dan Tokopedia Indonesia telah memperkenalkan Sahabat AI, sebuah model AI sumber terbuka dalam Bahasa Indonesia, yang wajar dicontohi Malaysia.
“Adakah pihak MOSTI juga sedang bergerak ke arah usaha itu untuk mengoptimumkan aplikasi dan perisa AI membolehkan syarikat-syarikat membangunkan pelbagai perkhidmatan yang sesuai dengan konteks lokal dari relevansi budaya tempatan.
“Sekali gus membolehkan AI lebih mudah difahami dan diakses oleh rakyat tempatan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Mohammad Yusof Apdal, menjelaskan bahawa MOSTI sedang meneliti kemungkinan untuk membangunkan model bahasa besar (LLM) dalam Bahasa Malaysia melalui kerjasama dengan universiti dan syarikat tempatan, termasuk MIMOS.
Beliau menambah bahawa usaha itu bertujuan meningkatkan keupayaan dan keberkesanan model AI untuk kegunaan tempatan.
Mengenai penyelarasan rangka kerja AI di peringkat ASEAN, beliau memaklumkan bahawa pada 2 Februari 2024, ASEAN telah mengeluarkan panduan tadbir urus AI yang bertujuan mempromosikan penjajaran dalam kalangan negara anggota dan meningkatkan rangka kerja AI serantau.
Jelasnya, garis panduan etika AI yang diperkenalkan baru-baru ini pula bertujuan memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi AI dilakukan secara bertanggungjawab, sejajar dengan prinsip-prinsip asas negara ASEAN. – HARAKAHDAILY 18/11/2024











