Hak Israel wujud – DMPM terkilan kenyataan PM

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) terkilan dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika temu bual bersama stesen televisyen CNN baru-baru ini.

Pengerusinya, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, setakat ini tiada pembetulan rasmi dibuat dengan menegaskan bahawa Israel tiada hak untuk wujud dan tiada hak untuk mempertahankan diri di bumi Palestin, bagi memperbetulkan kembali jawapan “yes” Perdana Menteri terhadap kedua perkara tersebut.

- Advertisement -

“Lajnah Antarabangsa DMPM menegaskan bahawa kedua naratif ini hanyalah istilah yang digunakan bagi menghalalkan perbuatan genosid Israel ke atas tanah yang dijajah. Penjajah tiada hak mempertahankan diri.

“Lajnah Antarabangsa DMPM turut menekankan bahawa kenyataan itu berpotensi meremehkan penderitaan rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi dan dijajah oleh rejim Zionis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat menggesa Perdana Menteri segera mengeluarkan kenyataan rasmi untuk memperbetulkan persepsi ini demi menjaga pendirian tegas Malaysia mempertahankan hak rakyat Palestin.

“Lajnah Antarabangsa DMPM juga ingin menegaskan bahawa Malaysia perlu terus konsisten dalam menyokong perjuangan pembebasan Palestin dari cengkaman penjajahan Israel, selari dengan dasar luar negara yang pro-Palestin.

“Sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh disalah tafsir sebagai menyokong hak Israel hanya akan melemahkan solidariti antarabangsa terhadap perjuangan Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024

- Advertisement -