
PARIT: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkesempatan menyantuni penduduk Kampung Chopin Kanan melalui program ‘Pendekatan Turun Padang’ bersama penduduk sekitar, petang semalam.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memperjuangkan kebajikan rakyat serta menyelesaikan masalah yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya turun ziarah mahabbah ke Kampung Chopin Kanan dengan tujuan menyantuni komuniti setempat sambil mendengar permasalahan yang dihadapi oleh penduduk.
“Dalam lawatan itu, saya turut meninjau sendiri kawasan hakisan Sungai Perak yang kian membimbangkan,” katanya dalam laman sosial mliknya.
Muhammad Ismi berkata, usaha itu merupakan langkah proaktif untuk mengumpul data bagi mengusulkan tindakan segera kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) demi keselamatan penduduk kampung.
Selain itu, beliau mengambil peluang menziarahi warga emas, ibu tunggal dan penduduk yang diuji dengan masalah kesihatan.
“Lawatan begini memberi ruang kepada saya untuk mendengar secara langsung luahan dan keperluan yang diperlukan masyarakat kampung itu.
“Alhamdulilah, penduduk kampung memberikan sambutan baik dan menghargai keprihatinan dan usaha yang dilakukan ini, dalam membawa suara mereka ke perhatian pihak berkuasa,” ujarnya.
Hasil lawatan ini, beliau bertekad untuk membawa isu hakisan Sungai Perak kepada pihak berkuasa bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
“Diharapkan langkah ini akan memberi impak positif terhadap kehidupan penduduk Kampung Chopin Kanan. Ziarah mahabbah juga menjadi inspirasi kepada pemimpin lain untuk sentiasa mendekati rakyat, memperkukuhkan hubungan dan mendengar suara masyarakat demi membina masyarakat yang lebih harmoni,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2024











