
PENDANG: Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat berjaya menambat hati beliawanis sekitar Pendang untuk mengikuti kursus jangka pendek itu.
Kursus selama dua hari bermula 14 November lalu, disempurnakan majlis penutupannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhamad Radhi Mat Din, kelmarin.
Program anjuran Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan NISA’ Daerah Pendang itu secara tidak langsung membuka lembaran baharu kepada golongan beliawanis untuk meneroka bidang keusahawanan berasaskan coklat.
Muhamad Radhi berkata, program dua hari itu merupakan satu usaha yang baik dan berstrategik bagi membangunkan potensi beliawanis dalam bidang keusahawanan.
“Kita tidak mahu lagi beliawanis hanya dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ dapur semata-mata. Mereka kini adalah entiti penting dalam pembangunan ummah dan ekonomi negara,” kata beliau.
Ujarnya, di zaman sekarang, penglibatan wanita sebagai pencari rezeki telah menjadi realiti, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Justeru ADUN Alor Mengkudu itu juga mengharapkan ilmu yang diperolehi dari program itu dapat membantu para peserta meneroka perniagaan dalam bidang baharu iaitu pembuatan coklat, sama ada sebagai pendapatan utama atau tambahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar kini.
Hadir sama, ADUN Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman dan Pengarah Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah, Ustaz Saiful Syazwan Shafie.
“Pihak penganjur dan tenaga pengajar perlu membuat pemantauan berterusan terhadap peserta kursus selepas ini.
“Kita tidak mahu program ini sekadar melepaskan batuk di tangga. Selepas majlis penutup ini, bimbingan dan pemantauan perlu diteruskan sehingga peserta mencapai kejayaan,” ujarnya.

Dalam pada itu jelas beliau, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan Pembangunan Belia bergerak seiring dengan kemajuan negeri melalui pelbagai program dan aktiviti bermanfaat.
Dalam pada itu, seramai 30 beliawanis tempatan berjaya menamatkan kursus selama dua hari yang diadakan di di Dewan Seminar, Majlis Daerah Pendang dan masing-masing menerima sijil penyertaan. – HARAKAHDAILY 17/11/2024











