Kelantan tingkat populasi baka lembu premium

Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berusaha meningkatkan populasi baka lembu premium dengan menggunakan teknologi permanian beradas.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bagi menjayakan program tersebut kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1 juta dalam tempoh lima tahun.

Katanya, dengan peruntukan sebanyak RM942,184 sebanyak 35,434 semen baka lembu dibeli dalam tempoh tersebut.

“Dan tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM650,000 di bawah projek Pembiakan Pintar Ternakan bagi membeli 15,900 straw semen lembu baka premium seperti Charolais, Limousin dan Blonde.

“Pembelian straw semen baka lembu diagihkan kepada jurusuntik permanian beradas yang dilantik,” katanya pada majlis Sambutan Jubli Emas Teknologi Permanian Beradas Negeri Kelantan baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Exco Dato’ Shaari Mat Hussain; Pengarah Bahagian Pembangunan Genetik dan Teknologi Penternakan, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya, Dr Saifullizam Abdul Kadir.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, Dr Yahasmida Yaacob; Timbalan Pengarah (Pengurusan) JPV Kelantan, Shahiran Shaari; Pengerusi Persatuan Jurusuntik Permaninan Beradas, Teknologi Harun Hazim serta 75 jurusuntik.

Tuan Mohd Saripudin berkata, teknologi permanian beradas mula bertapak di Kelantan sejak tahun 1973.

Katanya sejak tahun 1973 sebanyak 390,458 suntikan permanian beradas dilakukan di mana 192,296 anak lembu berjaya dihasilkan.

Menurutnya juga Jabatan Veterinar mengenal pasti banyak spesis lembu yang boleh diternak di Kelantan dengan mengambil kira penyesuaian iklim, suasana dan kaedah penternakan. – HARAKAHDAILY 15/11/2024

- Advertisement -