Hafazan: Pelajar Maahad Tahfiz Al Istiqamah johan lagi

- Advertisement -

KUANTAN: Pelajar Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) Temerloh, Wafa Al-Hana’ Ahmad Fahizme, 15, dinobatkan sebagai johan hafazan kategori 1 hingga 10 juzuk, perempuan dua tahun berturut-turut.

- Advertisement -

Wafa mewakili MTIS dalam Majlis Menghafaz al Quran Peringkat Negeri Pahang 1446H/2024 Masihi, berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.

Beliau memperolehi markah 93.66 peratus sementara pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Nurul Wafa’ Nazri di tempat kedua dengan 92.58 peratus serta Durrah Khairul Azmi dengan 89.35 peratus di tempat ketiga.

Anak sulung kepada imam dua Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong itu telah diberi penghormatan membuat persembahan hafazan pada majlis penutupan bersama juara hafazan kategori lelaki, Ahmad Nuruddin Nazri dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Kedua-dua peserta terbaik tersebut membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM3,000, sijil serta plak dan akan mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan dijangka akan diadakan di negeri Perlis tahun hadapan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada guru-guru yang telah membimbing dan membantu saya dalam latihan, bertungkus-lumus meluangkan masa mendidik saya.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada ayah saya kerana telah menghantar saya ke Maahad Tahfiz untuk menuntut ilmu,” ujarnya menerusi laman TikTok Maahad Tahfiz Al Istiqamah.

MTIS ditubuhkan pada tahun 2016 dan beroperasi di atas sebuah lot tanah seluas 5.69 ekar yang kini sudah berubah wajah menjadi sebuah kompleks tersergam indah.

Maahad tahfiz tersebut semakin dikenali ramai setelah saban tahun pelajarnya terpilih bertanding ke peringkat negeri dan berjaya mendapat tempat teratas.

Dengan misi ‘Membina Generasi Rabbani’, MTIS kini sedang membuka permohonan kemasukan ke Tingkatan Satu sesi 2025. Maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi Maahad Tahfiz Al Istiqamah. Tarikh tutup permohonan Disember ini. – HARAKAHDAILY 15/11/2024

- Advertisement -