Tingkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kajian terkini menunjukkan kadar minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia kini mencecah 86.6 peratus, dengan purata 24 naskhah bacaan setahun.

- Advertisement -

Dato’ Ustaz Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) berkata, pencapaian itu seiring dengan dekad membaca kebangsaan yang dilancarkan pada tahun 2021.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kementerian atas usaha yang jitu dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat.

“Cuma dalam aspek ini saya ingin bertanya mengenai usaha kementerian untuk terus menggalakkan pembacaan dalam kalangan orang dewasa yang bekerjaya dan berkeluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Perbahasan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan penyediaan bahan bacaan ilmiah yang lebih beraneka untuk menarik minat golongan itu.

“Pertama, galakkan untuk membaca bahan bacaan ilmiah. Yang kedua untuk mempelbagaikan bahan bacaan ilmiah yang bersesuaian,” katanya.

Ahmad turut mengingatkan bahawa amalan membaca merupakan satu perintah Ilahi yang digalakkan dalam agama Islam.

“Marilah kita bersama menyahut seruan Allah melalui wahyu yang pertama yang diturunkan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024

- Advertisement -