
KOTA BHARU: Kelantan tetap menjadi destinasi pilihan pelancong pada musim cuti persekolahan dan hujung minggu biar pun sebahagian pelancong bertandang ke Selatan Thailand.
Setiausaha Kehormat Persatuan Hotel Malaysia Kelantan (MAH), Muhammad Azrin Zainal Abidin berkata, sebahagian besar hotel di Kelantan mendapat tempahan sehingga 80 peratus ketika sekolah baru-baru ini.

Katanya hampir keseluruhan pengusaha hotel mampu tersenyum kerana mendapat banyak tempahan bilik.
“Bagaimanapun tidak semua hotel bernasib baik, ada sebahagian kecil hotel tidak mencapai sasaran sehingga 80 peratus tempahan,” katanya ketika ditemui di sini.
Sebelum ini media melaporkan ramai pelancong negara ini menyerbu wilayah di Selatan Thailand sehingga berlaku kesesakan di pintu sempadan.
Azrin yang juga Pengurus Jewels Hotel berkata, cuti sekolah seminggu bulan lepas memberi peluang pelancong berkunjung ke Kota Bharu sambil membeli-belah di Pasar Siti Khadijah dan Bazar Siti Aisyah.
“Ada tetamu minta kita kongsikan tempat-tempat menarik di Kelantan termasuk Laman Warisan Kampung Laut dan pasar terapung di Pulau Suri dan Pulau Sri Tanjung,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024











