
TUMPAT: Program Tuisyen Rakyat Sejahtera yang diperkenalkan kerajaan negeri baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan pelajar khususnya keluarga berpendapatan rendah.
ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, seramai 35 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di DUN berkenaan mengikuti kelas berkenaan lebih sebulan lalu.
Katanya, pemilihan pelajar dibuat 13 penghulu mukim bagi memastikan pelajar benar-benar layak.
“Kebanyakan calon SPM mendapat tawaran Tuisyen Rakyat dari Maahad Muhammadi Tumpat, Sekolah Menengah Tumpat, Sekolah Menengah Biji Wangsa dan Sekolah Menengah Berangan.
“Bagaimanapun calon SPM paling ramai dari Maahad Muhammadi Tumpat,” katanya ketika dihubungi di sini.
Pada September lepas Kelantan melancarkan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) melibatkan peruntukan sebanyak RM477,000.
Tuisyen percuma itu melibatkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Program terbabit bermula Oktober lepas di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan. Tenaga pengajar tuisyen tersebut dipilih daripada penggubal dan pemeriksa kertas peperiksaan.
Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dilantik sebagai pemantau pelaksanaan program Tuisyen Rakyat.
Adanan yang juga bekas guru besar berkata, kelas tuisyen diadakan empat kali seminggu iaitu pada malam Khamis, malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad.
Tambahnya, empat mata pelajaran asas diajar iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah. – HARAKAHDAILY 14/11/2024











