‘Kita nak lihat kepimpinan IPT seperti zaman kecemerlangan dahulu’

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kepimpinan universiti dianggap sebagai faktor utama kejayaan sesebuah institusi pendidikan tinggi.

- Advertisement -

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, pemilihan kepimpinan yang tepat adalah penting untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar, seperti yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Pemilihan kepimpinan untuk memimpin universiti ini merupakan salah satu penentu kepada kejayaan sesebuah institusi pendidikan tinggi.

“Maka di antara fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi seperti dinyatakan sendiri oleh menteri untuk menjadikan IPT sebagai wahana human transformer dan juga culture builders untuk membentuk kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menyoal sejauh manakah KPT mengukur keberkesanan peranan pemimpin IPT dalam melaksanakan agenda tersebut.

“Kita nak melihat kepimpinan IPT seperti mana zaman-zaman kecemerlangan dahulu di zaman Profesor Engku Diraja Aziz, Profesor Almarhum Aminuddin Wahid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sekarang ni kita nampak macam tak berapa nak terserlah sikit.

“Oleh itu kita nak mengembalikan kegemilangan sepertimana kepimpinan universiti zaman satu ketika dahulu,” katanya lagi.

Menjawab soalan tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara tersebut menjadi perhatian pihak kementerian.

“Itulah juga yang menjadi keprihatinan kita dalam usaha kita untuk memastikan supaya nilai-nilai kepimpinan yang terbaik dapat kita tonjolkan dan termasuk juga dapat kita kenal pasti,” katanya.

Pada soalan asal, Idris meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah usaha Kementerian dalam menghasilkan pemimpin di peringkat pentadbiran universiti yang berkualiti dan mempunyai wawasan yang jelas dalam membangunkan negara melalui pembangunan bakat berpengetahuan tinggi, profesional, kreatif dan inovatif. – HARAKAHDAILY 14/11/2024

- Advertisement -