
KOTA BHARU: Kerajaan negeri merakam ucapan takziah di atas kematian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia hari ini.
Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Nik Bahrum Nik Abdullah menyifatkan pemergian Allahyarham Daim sebagai kehilangan besar kepada negara kerana arwah cemerlang dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, biar pun Allahyarham seorang lulusan bidang undang-undang, namun berjaya dalam bidang bukan guaman seperti hartanah dan politik.
“Allahyarham Tun Daim seorang yang hebat dan tidak banyak bersuara, tetapi tindakannya dalam apa jua perkara cukup berkesan,” katanya di sini.
Daim dilapor meninggal dunia pagi ini ketika berusia 86 tahun di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.
Semasa hayatnya Daim pernah berkhidmat sebagai menteri di era pentadbiran Tun Mahathir Mohamed, malah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia pada tahun 1980-an dan 1990-an.
Allahyarham turut dikenali sebagai salah seorang arkitek ekonomi yang membantu memulihkan kewangan negara semasa krisis sebelum ini.
“Allahyarham berjaya mengukuhkan ekonomi Malaysia melalui pelbagai dasar dan strategi kewangan yang efektif,” kata Nik Bahrum. – HARAKAHDAILY 13/11/2024











