
SUNGAI PETANI: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dam Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin telah mengadakan lawatan kerja ke Daerah Kuala Muda sebagai tinjauan persiapan menyambut Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Lawatan itu melibatkan pelbagai lokasi yang berupaya menjadi destinasi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri antaranya Kompleks Perniagaan Tanjung Dawai, Kompleks Pelancongan Jeti Semeling, Pantai Merdeka dan lain-lain.
Menurut Dato’ Mohd Salleh, antara fokus utama yang diberi keutamaan pada tinjauan beliau adalah berkenaan aksesibiliti, kemudahan awam, kebersihan dan daya tarikan persekitaran.
“Secara keseluruhan, daerah ini telah menunjukkan persiapan yang memuaskan, namun terdapat beberapa penambahbaikan yang masih diperlukan untuk memaksimumkan kesiapsiagaan ini.
“Saya telah mengemukakan beberapa cadangan dan teguran dan disambut baik oleh pihak berkenaan,” jelasnya yang juga ADUN Kubang Rotan.
Sementara itu, beliau turut diberi taklimat berkenaan kerja-kerja baik pulih Kompleks Pelancongan Jeti Semeling yang sudah mula dilaksanakan.
“Saya dimaklumkan, di jeti ini akan disediakan beberapa pasarana seperti restoran makanan laut, makanan tradisional, termasuk perkhidmatan cruise yang hampir bersedia untuk beroperasi.
“Ini memberi keyakinan bahawa Kompleks Pelancongan Jeti Semeling ini akan menjadi salah satu tarikan utama pelancong di Daerah Kuala Muda,” tambah beliau lagi.
Turut hadir pada tinjauan berkenaan, termasuklah ADUN Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali dan ADUN Pantai Merdeka, Ustaz Sharir Long.
Dalam pada itu, beberapa tempat lain turut mendapat perhatian beliau, antaranya Pantai Rhu Tanjung Dawai yang dilihat memerlukan usaha pembersihan lebih teratur agar tidak menjadi tempat longgokan sampah sarap.
Tidak setakat itu sahaja, pantai yang agak tersohor di Kedah iaitu Pantai Merdeka juga katanya, memerlukan sentuhan pembaikan dalam beberapa perkara.
“Papan tanda yang rosak mesti diganti baharu, termasuk pengurusan sampah juga perlu ditambah baik dengan sistem yang lebih efisien dan lain-lain,” ujar beliau.
Dato’ Mohd Salleh juga akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi memperbaiki Pintu Gerbang, Kota Kuala Muda yang wajar dipelihara sebagai warisan sejarah di daerah berkenaan.
Termasuk juga katanya, Dataran Tsunami yang banyak merakam detik-detik cemas sewaktu kejadian tragedi hitam pada 26 Disember 2004 itu.
“Tetapi saya berpuas hati kerana Dataran Tsunami setakat ini berada dalam keadaan baik. Terima kasih kepada pengurusan yang menjaga kawasan ini dengan cemerlang,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau tidak melepaskan peluang menjejakkan kaki ke dua tempat yang tular serta popular bukan sahaja di Kedah, malah seluruh Malaysia iaitu Masjid Al-Busyra di Merbok dan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) di sini.
“Pasarana dan kelengkapan yang ada di kedua-dua tempat ini, mampu melonjakkan lagi sambutan TMK 2025, malah pihak mereka juga bersedia ke arah itu.
“Saya tidak sabar untuk melihat kejayaan TMK 2025 bersama-sama,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 13/11/2024














